Faktor miskin bukan alasan kahwin awal

Faktor kemiskinan bukan alasan untuk membenarkan remaja perempuan bawah umur dikahwinkan, kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Sebaliknya, Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga itu berkata, penyelesaian kaunseling dan pemulihan boleh dilaksanakan secara menyeluruh.

“(Kahwin awal) bukan penyelesaian terbaik kerana terdapat banyak lagi cara pemulihan boleh dilaksanakan bermula dari sekolah hingga peringkat tertinggi.

“Bagaimanapun, ia bukan bersandarkan faktor kaunseling sahaja. Di peringkat Kerajaan Selangor, kita giat mengkaji penyelesaian terbaik supaya isu ini dapat diatasi secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, tular laporan media yang mendedahkan perkahwinan bawah umur membabitkan kanak-kanak berumur 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkahwinan berkenaan tidak sah dari segi undang-undang.

Katanya, perkahwinan itu tidak mendapat kelulusan daripada mahkamah untuk bapa kanak-kanak itu mewalikan anaknya dan menjadi isteri kepada orang yang lebih tua.

Untuk tempoh kini, paras minima perkahwinan ditetapkan, pada umur 16 tahun.

Bagaimanapun, Kerajaan sebelum ini turut bercadang menaikkan paras umur berkenaan kepada 18 tahun.

Sumber: Selangorkini