Dr Mariah lancarkan mural grafiti sempena 72 tahun RTM

Mural grafiti yang menggambarkan kasih sayang dan keprihatinan dalam masyarakat dilancarkan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-72 RTM.

Mural yang ditempatkan di Klinik Pakar Pediatrik, Hospital Serdang itu dihasilkan oleh pelukis mural, Pakey.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, media memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat tentang kesihatan termasuk membabitkan isu penganiayaan terhadap kanak-kanak.

“Terima kasih kepada Hospital Serdang dan Selangor FM sempena sambutan 72 tahun RTM untuk menghadiahkan satu mural untuk Jabatan Pediatrik Hospital Serdang sebagai aktiviti tanggungjawab koporat terhadap masyarakat di sini.

“Hari ini kita mengangkat Selangor FM untuk sama-sama mendidik rakyat dalam menjaga kesihatan misalnya kita diberi taklimat mengenai unit pusat sehenti untuk kes penderaan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Program Ziarah Medik dan Pelancaran Mural Grafiti Selangor FM di Hospital Serdang di sini, hari ini.

Menyentuh lanjut isu kes penderaan, Mariah berkata lazimnya kes penderaan terhadap kanak-kanak kerap berlaku di lingkungan kawasan selamat kanak-kanak seperti rumah dan pusat asuhan kanak-kanak.

Katanya, kejadian itu tidak terhad berlaku terhadap kanak-kanak sahaja tetapi turut melibatkan wanita dan lelaki dewasa.

“Sekarang kita tidak lagi boleh menganggap sesutu yang berlaku kepada orang lain adalah urusan rumah tangga dia, tak masuk campur tetapi kita kena ambil tahu kerana mangsanya adalah mereka yang tidak berupaya, yang lemah termasuk ada juga lelaki yang kena dera dan sudah tentu terutamanya adalah anak-anak,” katanya.

Sumber: Selangorkini