Tiada kes kahwin bawah umur di Selangor

Tiada kes perkahwinan bawah umur dilaporkan berlaku di negeri ini, kata Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata, pemantauan menyeluruh giat dilaksanakan sebagai jaminan kes seumpama itu tidak berlaku di negeri berkenaan.

“Tidak pernah timbul isu seperti ini di Selangor dan tiada kes perkahwinan bawah umur dilaporkan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau diminta mengulas penularan kes kahwin bawah umur membabitkan kanak-kanak 11 tahun dan lelaki, 41 tahun yang berlaku di sebuah negeri di pantai timur, baru-baru ini.

Dalam kes berkenaan, perkahwinan itu didakwa didaftarkan di Thailand, bagaimanapun Putrajaya sebelum ini menegaskan ia tidak sah.

Mengulas lanjut kata Dr Mariah, Kerajaan Selangor mempertimbang untuk melanjutkan paras umum perkahwinan muda, pada umur 18 tahun.

Kenyataan itu senada dengan pertimbangan dasar baru di peringkat Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Ia perlu diselarikan di semua peringkat membabitkan lapisan agama dan bangsa dengan menetapkan 18 tahun adalah paras umur minimum perkahwinan,” katanya.

Sumber: Selangorkini