Perutusan Hari Wanita Sedunia

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Terlebih dahulu saya mengucapkan Selamat Hari Wanita Sedunia buat semua insan istimewa yang bernama wanita, khususnya wanita-wanita di Negeri Selangor Darul Ehsan.

Hari Wanita Sedunia adalah hari di mana dunia meraikan pencapaian ekonomi, sosial, politik dan kebudayaan golongan wanita, di samping memberi galakkan untuk meningkatkan partisipasi wanita dalam semua bidang berkenaan.

Sambutan Hari Wanita Sedunia 2019 telah mengangkat tema “Balance for Better”, iaitu “Seimbang untuk Sejahtera” bertujuan untuk memberi inspirasi kepada wanita dalam mengimbangi komitmen dan tanggungjawab mereka dalam setiap aspek kehidupan.

Peranan wanita sebagai seorang pekerja, isteri, ibu, anak, dan segala macam tanggungjawab yang digalas, sememangnya menuntut kita untuk menjadi bijak dalam membahagikan masa dan komitmen.

Aspek keseimbangan yang penting juga untuk kita tekankan adalah kesimbangan diri sendiri dari segi pembinaan rohani yang kukuh, minda yang sihat, fizikal yang cergas dan emosi yang sentiasa gembira.

Saya yakin keseimbangan yang bermula dari dalam diri setiap wanita akan menatijahkan kesejahteraan yang optimum serta membuahkan aura positif kepada orang-orang di sekeliling kita.

Sambutan ini juga akan dapat membawa harapan golongan wanita dan memberdaya peranan semua pihak dalam aspek gender mainstreaming serta menghapuskan sebarang diskriminasi gender agar pembangunan dan potensi wanita dapat dioptimumkan.

Harapan kita seterusnya agar ia juga menjadi medium menyebarluas inisiatif pencapaian dasar-dasar yang menyokong wanita, khususnya Dasar Wanita Selangor yang telah dilancarkan pada tahun 2017.

Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengambil pendekatan pembangunan seimbang yang memberikan penekanan kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Ke arah menuju Selangor yang sejahtera, penekanan khusus diberikan dalam meningkatkan taraf dan kualiti hidup yang merangkumi aspek ekonomi, sosial, fizikal dan psikologi yang memberikan manfaat kepada masyarakat.

Di Selangor, aspek ini dimanifestasikan dalam penjagaan kesihatan yang berkualiti; penjagaan kebajikan rakyat; penambahbaikan perkhidmatan dan pentadbiran; pengukuhan integrasi sosial dan perpaduan; pemberdayaan wanita dan keluarga; serta penyertaan yang meluas dalam aktiviti kemasyarakatan. Kesejahteraan yang lebih baik juga akan meningkatkan produktiviti dan kemajuan rakyat.

Kerajaan Negeri percaya, aspirasi yang terkandung dalam tema Seimbang untuk Sejahtera ini bukan sekadar untuk memastikan keseimbangan gender dalam setiap aspek pembangunan Negeri, keseimbangan kehidupan wanita berkerjaya dan berkeluarga, malah wanita-wanita di Selangor juga mampu menjadi agen pelaksana dan penggerak ke arah mencapai kesejahteraan menyeluruh yang diimpikan oleh setiap rakyat di Negeri ini.

Selamat Hari Wanita Sedunia!

Selangor, Maju Bersama.

YB DR SITI MARIAH MAHMUD
PENGERUSI JAWATANKUASA KESIHATAN, KEBAJIKAN,
PEMBERDAYAAN WANITA & KELUARGA NEGERI SELANGOR