[Kenyataan Media] Wanita AMANAH sokong penubuhan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan

1. Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional menyambut baik dan menyokong penuh penubuhan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam peringkat Persekutuan. Penubuhan Jawatankuasa ini yang bertujuan menambahbaik institusi Islam bertepatan dengan ikrar Pakatan Harapan untuk terus memartabatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

2. AWAN yakin inisiatif mengkaji kedudukan hal ehwal Islam, bidang kuasa serta keberkesanan agensi agama adalah sebahagian daripada proses reformasi sistem dalam mendepani pelbagai isu dan cabaran umat Islam di negara kita. Dengan pelantikan Tun Ahmad Sarji sebagai pengerusi yang luas pengalaman sebagai tokoh pentadbir, AWAN percaya jawatankuasa ini dapat melaksanakan fungsinya sebaik mungkin.

3. Walau bagaimanapun, AWAN mengalu-alukan penglibatan tokoh wanita dalam jawatankuasa ini agar sudut pandang lebih seimbang dan menyeluruh boleh diwujudkan. Ini bagi memastikan keberkesanan agensi perundangan dan penghakiman syariah di peringkat persekutuan ditambahbaik, khususnya dalam hal-hal berkaitan wanita dan keluarga.

4. Bagi menyuburkan budaya dialog atas semangat litaarafu (agar saling mengenali), AWAN menyeru jawatankuasa ini menghidupkan semula dialog ketamadunan. Dialog ini boleh dijayakan dengan paduan tenaga pelbagai tokoh tersohor termasuklah Timbalan Pengerusi sendiri, Dr Afifi al-Akiti. Beliau sendiri mempunyai latar belakang pendidikan tradisional hingga ke Oxford.

5. AWAN yakin iltizam ini membuktikan kerajaan Pakatan Harapan serius melakukan reformasi sistem dalam negara dan ini wajar disambut baik oleh semua.

YB Dr Siti Mariah Mahmud
Ketua Wanita
Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional
1 Ogos 2018