Inisiatif pembangunan kebajikan OKU diteruskan

Kerajaan Negeri akan meneruskan inisiatif perkhidmatan pembiayaan sepenuhnya White Cane dan Mesin Braille kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, inisiatif itu sebahagian daripada komitmen pentadbiran Selangor membantu golongan itu.

“Inisiatif seperti ini akan diteruskan lagi dari masa ke masa dan diharapkan menjelang 2020 matlamat peningkatan kemudahan infrastruktur bagi golongan OKU di negeri ini akan tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Iftor Ramadan bersama Insan Istimewa di Hotel Carlton Holiday & Suites, Seksyen 13 Shah Alam, pada 10 Jun lalu.

Pada masa sama kata Dr Siti Mariah, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan beberapa program kebajikan lain yang dilaksanakan di bawah standco itu.

Katanya, ini termasuklah saranan kepada OKU untuk terlibat dalam bidang keusahawanan di bawah program Hijrah Selangor.

“Kerajaan Negeri mahu golongan ini mendapat peluang dan akses sama rata dalam mencari pekerjaan mahupun peluang berniaga melalui aktiviti pemberdayaan ekonomi.

“Jadi, kita amat menggalakkan mereka untuk menyertai Hijrah dan bersedia membimbing serta sama-sama membantu mereka meningkatkan taraf hidup,” katanya.

Sementara itu Dr Siti Mariah berkata, seramai 34,725 orang peserta HIJRAH Selangor menerima manfaat dan bantuan HIJRAH dengan peruntukan melebihi RM270 juta, sehingga September tahun lalu.

Beliau berkata, seramai 68,855 OKU berdaftar di Selangor namun hanya 9,037 bekerja dan menerima elaun pekerja cacat RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, bersamaan 13 peratus.

“Angka ini menunjukkan masih ramai OKU yang belum bekerja atau tidak mampu untuk bekerja.

“Justeru, kami serius untuk membantu golongan OKU ini melalui sesi rawatan terapi dan latihan vokasional berkaitan,” katanya.

Sumber: Selangorkini