Hebat kerja pembersihan cegah Chikungunya

Kerja pembersihan di kawasan yang terbabit dengan penyakit Chikungunya akan diperhebatkan bagi mencegah wabak berkenaan daripada terus menular.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, antara punca penyakit itu ekoran lawatan pesakit atau keluarga pesakit ke Hatyai, Thailand baru-baru ini.

Katanya, setakat ini seramai 15 pesakit dikenal pasti mempunyai simptom wabak penyakit berkenaan.

“Menurut Pusat Kesihatan Daerah Kuala Langat, terdapat 100 kes yang masih belum diterima senarainya dengan kesemuanya bermula dari 1 Januari sehingga kini.

“Mencegah Chikungunya seperti mencegah Aedes, jadi kita akan terus membasmi tempat pembiakan nyamuk termasuk mempergiatkan kerja pembersihan.

“Buat masa ini, kes masih terkawal dan kita berharap ia tidak akan berlarutan,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Daerah mengambil langkah awal menangani penyakit berkenaan, di Kuala Langat.

Katanya, antara langkah diambil membabitkan taklimat pencegahan dan semburan kabus di seluruh kawasan terbabit selain mengedarkan risalah serta ubat jejentik.

Sebelum itu, Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat 11 pesakit menghidap penyakit Chikungunya, di daerah berkenaan.

Sumber: Selangorkini