Akta OKU terus diperkasa

Akta Orang Kurang Upaya (OKU) akan diperkasa dan diperkukuhkan secara menyeluruh dalam usaha memperkasakan golongan terbabit.

Exco Kesihatan, Pemerdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, ketika ini, pihaknya sedang merangka dasar dan menerima maklum balas dari golongan OKU dan jabatan yang berkaitan.

Katanya, Kerajaan Negeri prihatin dengan golongan OKU dalam pelbagai aspek antaranya infrastruktur.

“Dasar ini akan dirangka dan mesyuarat masih berjalan. Usaha ini bagi memperkasakan akta OKU, kerana akta yang sedia ada ibarat tiada gigi dan tidak mencengkam.

“Jawatankuasa masih dalam proses berjumpa dengan OKU dan pihak berkaitan bagi mendapatkan balasan untuk kita rangka dan bawa kepada nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan, di Sidang Dewan Negeri, di sini.

Pada sama sama, Mariah berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan parkir OKU.

“Beri belas kasihan, parkir OKU ini boleh juga digunakan untuk keluarga yang membawa ahli OKU juga bukan hanya pemandu OKU sahaja dibenarkan.

“Penguatkuasa perlu diberi taklimat dalam perkara ini, ini adalah undang-undang yang juga perlu digunakan secara kebijaksanaan.

“Kerajaan Negeri perlu menyediakan infrastruktur untuk OKU yang boleh digunakan pakai warga emas dan wanita hamil,” katanya.

Sumber: Selangorkini