ADN Negeri Selangor selesai angkat sumpah

Semua 55 daripada 56 Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor selesai mengangkat sumpah jawatan secara rasmi di Dewan Negeri Selangor (DNS) bertempat di Bangunan Annex hari ini.

Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas pagi ini dimulakan oleh Dato’ Menteri Besar yang juga ADN Sungai Tua, Amirudin Shari dari Sungai Tua dihadapan Speaker DNS, Ng Suee Lim.

Ia disusuli barisan Exco Kerajaan Negeri yang dimulakan oleh Datuk Teng Chang Kim (ADN Bandar Baru Klang), V Ganabatirau (ADN Kota Kemuning), Rodziah Ismail (ADN Batu Tiga), Dr Siti Mariah Mahmud (ADN Seri Serdang) dan Ir Izham Hashim (ADN Pandan Indah).

Diikuti Haniza Talha (ADN Lembah Jaya), Datuk Abdul Rashid Asari (ADN Selat Kelang), Ng Sze Han (ADN Kinrara), Dr Shaharuddin Badaruddin (ADN Seri Setia) dan Hee Loy Sian (ADN Kajang) serta 45 ADN yang lain.

ADN Sungai Kandis, Mat Shuhaimi Shafiei dimaklumkan tidak hadir disebabkan masalah kesihatan.

Barisan ADN Pembangkang seramai lima orang turut hadir mengangkat sumpah yang dimulakan Datuk Mohd Shamsudin Lias (ADN Sungai Burong).

Majlis Angkat Sumpah yang dimulakan pada jam 10 pagi selesai sepenuhnya dengan diakhiri ucapan penangguhan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Sumber: Selangorkini